Wednesday, November 4, 2009

Ibadah Qurban: Ibadah yang tidak diambil berat orang Islam di Malaysia

Assalamualaikum kpd semua,
Hari Raya Aidil Adha semakin hampir. Salah satu dari ibadah besar yang dilakukan pada hari raya nanti ialah ibadah Qurban. Malangnya bila kita perhatikan, ibadah ini semakin tidak diambil berat oleh umat Islam di Malaysia walau pun ialah dikategorikan sebagai `sunnat muakkad' atau pun sunat yang diberatkan. Di surau atau mesjid kita akan perhatikan ada beberapa ekor lembu sahaja akan dikurbankan padahal ada beratus atau beribu keluarga Islam di sekeliling surau atau mesjid tersebut. Kenapakah ini berlaku? Adakah kerana keluarga2 Islam itu tidak mampu melakukan ibadat kurban? Sebenarnya kos ibadat kurban sangat sedikit iaitu hanya sekitar RM360 untuk satu bahagian iatu minima untuk satu keluarga kalau hendak menyertai ibadat kurban. RM360 boleh dikumpulkan dengan hanya melakukan simpanan RM1 setiap hari sahaja untuk selama setahun. Rata2 orang Islam sanggup melanggan broadband internet sebanyak hampir RM100 sebulan yang bermakna lebih dari RM1,200 setahun. Tetapi kenapa tak sanggup belanja 25% peratus dari kos tersebut untuk tujuan ibadat sunnat yang dituntut oleh Allah? Mungkin kerana kurang mengetahui pensyariatan dan fadhilat kurban itu sendiri? Kalau itulah sebabnya maka saya append di bawah beberapa ayat Quraan dan Hadis berkenaan ibadah Qurban semoga akan memotivasikan semua untuk menyertai ibadat untuk tahun ini. Pastikan tuan/puan baca hadis yang terakhir.

Pensyariatan Qurban

1. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :

Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".
2. Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".
3. Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:
1. Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".

(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
2. Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:

Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".

(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."

(Hadis riwayat Thabrani)
4. Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

(Hadith riwayat Tirmidzi)
5. Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.