Thursday, June 16, 2016

Gejala Rasuah di Kalangan Pemimpin dan Kesannya - Pengajaran Dari Pengalaman Negara Pakistan

Gejala Rasuah di Kalangan Pemimpin dan Kesannya - Pengajaran Dari Pengalaman Negara Pakistan
Prof. Nazari Ismail, Ketua Biro Penyelidikan IKRAM.
Di Malaysia, kita sering dimomokkan bahawa nasib bangsa Melayu akan hanya terbela jika bangsa Melayu sahaja yang kekal memerintah. Oleh itu, majoriti yang berbangsa Melayu merasakan fokus utama dalam usaha politik ialah memastikan bangsa lain tidak akan memerintah negara kita. Mereka rela menerima pemerintah yang korup,beramal dengan rasuah, tidak adil, tidak mengormati proses demokrasi dan menyalahguna kuasa, asalkan pemerintah tersebut adalah dari kalangan orang Melayu Islam semata-mata.
Persoalan yang timbul ialah adakah benar apabila bangsa sendiri memerintah maka keadilan, kebebasan dan kesejahteraan akan pasti terjamin untuk semua anak bangsa?
Mari kita menelusuri pengalaman sebuah negara Islam yang besar di Asia iaitu Pakistan. Negara ini tidak pernah diperintah oleh pemimpin berbangsa lain kecuali bangsa Pakistan semenjak mendapat kemerdekaan dari India pada tahun 1947.
Salah satu aspek sejarah Pakistan yang penting ialah wujudnya sistem birokrasi kerajaan yang besar. Ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam, namun ia adalah sesuatu yang diwarisi dari pemerintahan British di India. Sistem ini amat senang disalahgunakan oleh mereka yang berkuasa jika mereka tidak mempunyai nilai hidup yang betul. Walau bagaimanapun sistem birokrasi ini tidak menimbulkan masalah di negara Britain sendiri kerana nilai amanah dan telus dihargai dan ditekankan oleh masyarakatnya. Malangnya, nilai ini tidak kuat di kalangan masyarakat Pakistan walaupun rakyat dan pemimpin beragama Islam dan negara itu mengisytiharkan dirinya sebagai Republik Islam pada tahun 1956.
Satu dari kesan negatif yang timbul akibat kurangnya nilai amanah ini ialah amalan rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa di kalangan elit yang memerintah di Pakistan. Seawal tahun 1960an lagi, apabila General Ayub Khan menjadi Presiden, pihak Bank Dunia telah melaporkan bahawa birokrasi kerajaan Pakistan mengalami masalah rasuah yang sangat teruk . Akibatnya ekonomi Pakistan menurun walaupun negara mempunyai banyak hasil mahsul dan penduduk yang ramai.
Salahguna kuasa di pihak golongan pemerintah Pakistan yang dikuasai oleh golongan Punjabi di Pakistan Barat telah mengakibatkan rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan rakyat yang tinggal di Pakistan Timur. Ini mencetuskan peperangan sivil pada tahun 1971 yang berakhir dengan terpisahnya Pakistan Timur yang kemudian dinamakan Bangladesh.
Pada tahun 1973, Zulfiqar Ali Bhutto dari Pakistan Peoples Party (PPP) telah menjadi Perdana Menteri Pakistan. Beliau berusaha untuk merangsangkan ekonomi Pakistan dengan program nasionalisasi . Malangnya, oleh kerana nilai amanah tidak wujud di kalangan ahli pentadbiran beliau, maka program ini telah memberi peluang kepada golongan elit untuk menyalahguna kuasa dan membuat amalan rasuah menjadi lebih teruk lagi. Usaha nasionalisasi Bhutto mengalami kerugian yang teruk kerana ahli parti PPP menyalahguna kuasa mereka untuk merebut peluang mentadbir badan-badan awam untuk memperkayakan diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan mereka di samping menguatkan kedudukan politik mereka.
Pada tahun 1977 susulan dari tuduhan penyalahgunaan kuasa oleh PPP di dalam proses pilihanraya, beberapa rusuhan ganas telah berlaku. Ini memberi peluang kepada tentera untuk mengambil alih kuasa di bawah pimpinan General Muhammad Zia-ul-Haq yang menjadi presiden pada tahun 1978.
Presiden Zia melaksanakan polisi merungkaikan balik polisi nasionalisasi Bhutto dan melaksanakan sistem perundangan berdasarkan Islam untuk mendapat sokongan pihak Islamis. Namun oleh kerana nilai amanah masih tidak wujud, maka masalah rasuah masih lagi berleluasa. Di samping itu, hak berpolitik rakyat terhad kerana Presiden Zia telah melaksanakan undang-undang tentera.
Pada tahun 1986, Benazzir Bhutto, anak kepada Zulfiqar Ali Bhutto (yang telah dihukum gantung pada tahun 1979) telah pulang ke Pakistan dan mengetuai PPP. Mereka meminta diadakan semula pilihanraya umum dan telah memenanginya pada tahun 1988.
Namun kerajaan di bawah kepimpinan beliau masih lagi tidak dapat melepaskan diri dari penyakit rasuah. Akibatnya beliau telah dilucutkan dari jawatan pada tahun 1990 dan digantikan oleh Nawaz Shariff. Namun Nawaz Sharif juga tidak terlepas dari tuduhan penyalahgunaan kuasa dan rasuah walaupun mendapat sokongan sebahagian rakyat kerana melaksanakan undang-undang Shariah. Akibatnya Bhutto memenangi pilihanraya sekali lagi pada tahun 1993. Namun sekali lagi reputasi penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh beliau dan suami beliau Asif Zardari menjadi buah mulut rakyat dan beliau dilucutkan jawatan oleh Presiden Leghari pada tahun 1996 dan digantikan oleh Nawaz Sharif yang memenangi pilihanraya yang diadakan pada tahun itu.
Sementara itu ekonomi Pakistan menjadi bertambah teruk dan Pakistan telah menghadapi masalah pengangguran dan hutang kerajaan yang tinggi. Ini membuat keadaan politik negara menjadi tegang dan tidak stabil. Akibatnya beliau telah digulingkan oleh tentera yang dipimpin oleh General Pervez Musharraf pada tahun 1999. Di bawah pentadbiran beliau yang memegang jawatan Presiden dan juga ketua tentera, had berpolitik rakyat Pakistan telah dihadkan. Oleh itu, masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga berterusan . Situasi ini telah menyumbang kepada suasana tidak stabil di dalam negara dan kewujudan kumpulan pelampau yang cenderung kepada keganasan. Akibatnya kerajaan terpaksa bertindak ganas juga. Satu contoh ialah serangan tentera ke atas Masjid Merah yang telah dikuasai pihak pelampau pada bulan Julai 2007 yang mengakibatkan puluhan nyawa terkorban.
Kebergantungan Pakistan kepada bantuan kewangan dari Amerika juga membuat Pakistan sering menurut perintah Amerika dalam polisi pentadbirannya dan ini membuat ramai pihak membenci kerajaan. Ada yang sanggup melakukan tindakan melampau dan ganas. Insiden pengeboman berlaku di sana sini dan salah satu darinya telah mengorbankan Benazir Bhutto semasa beliau sedang berkempen untuk pilihanraya pada tahun 2007.
Pada tahun 2008, Yusuf Raza Gillani yang mengetuai PPP telah menjadi Perdana Menteri dan Asif Zardari, suami Benazir menjadi presiden. Di bawah pentadbiran mereka berdua, suasana rasuah bertambah teruk dan akibatnya keadaan kewangan kerajaan Pakistan terus merosot. Pakistan terpaksa meminjam wang berjumlah berbillion dolar Amerika dari International Monetary Fund (IMF) untuk mengatasi masalah hutang luarnya. Ini telah membuatkan negara tersebut semakin tunduk kepada Amerika Syarikat dan pada masa yang sama membuatkan golongan pelampau seperti Taliban semakin marah kepada kerajaan sehingga sanggup mengebom masjid-masjid kerajaan dan membunuh orang awam.
Usaha Gillani untuk melindungi Zardari dari dipenjarakan atas dasar rasuah telah mengakibatkan beliau sendiri telah diisytiharkan tidak layak memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan Jun 2012 oleh Mahkamah Agung Pakistan dan digantikan oleh Raja Pervez Ashraf. Namun Raja Pervez Ashraf juga dituduh beramal dengan rasuah. Pada bulan Januari 2013, Mahkamah Agung Pakistan telah mengarahkan Raja Pervez Ashraf didakwa atas tuduhan melakukan rasuah semenjak tahun 2010. Beliau kemudiannya telah digantikan oleh Nawaz Sharif yang memegang jawatan tersebut sehingga ke hari ini.
Sehingga kini Pakistan masih terus dihantui oleh masalah suasana politik yang tidak stabil serta keganasan yang melibatkan pembunuhan ramai rakyat awam akibat dari hilangnya kepercayaan rakyat kepada pemimpin yang begitu gemar dengan amalan rasuah.
Pada tahun 2012, Transparency International (TI) menganggarkan Pakistan telah kerugian lebih dari Rs 8.5 trillion ( 94 billion dollar Amerika) akibat dari rasuah, dan pengelakan cukai dalam tempoh hanya lima tahun iaitu di antara tahun 2008 hingga 2013.
Amalan rasuah dan pengelakan cukai ini juga mengakibatkan keadaan kewangan kerajaan semakin merosot. Nawaz Sharif terpaksa meminjam 6.6 billion dolar Amerika dari International Monetary Fund pada tahun 2013 untuk mengelakan negara terjebak dalam krisis hutang. Satu laporan pada tahun 2015 oleh Dr. Hafiz Pasha, pakar ekonomi Pakistan dan juga bekas menteri kewangannya, menyatakan bahawa hutang luar kerajaan Pakistan dijangka meningkat menjadi 90 bilion dolar dalam jangka masa empat tahun dan kerajaan memerlukan pendapatan sebanyak 20 bilion dolar setahun untuk membayar hutang luar.
Terkini, satu laporan dari Bloomberg menyatakan bahawa Pakistan mungkin akan mengalami masalah membayar hutangnya yang akan matang pada tahun 2016 berjumlah 45 bilion dolar Amerika atau 40 peratus dari jumlah hutang belum berbayarnya. Jika ini berlaku, matawang Pakistan mungkin akan terjejas sekali gus memberikan kesan negatif kepada ekonomi Pakistan.
Oleh itu satu pengajaran utama dari sejarah Pakistan ialah adalah tidak cukup bagi sesebuah negara itu diperintah atau dipimpin oleh bangsanya sendiri walaupun pemimpin bangsa itu beragama Islam. Pemimpin dan juga rakyat hendaklah beramal dengan ajaran Islam yang sebenarnya. Pemimpin mesti mentadbir dengan amanah dan telus dan tidak beramal dengan rasuah manakala rakyat hendaklah jangan mudah dibeli oleh pemimpin yang korup.
Semoga rakyat negara kita bijak dalam memilih pemimpin agar negara akan bertambah aman dan kebajikan rakyat terpelihara sesuai dengan ungkapan di dalam Al Quraan – BALDATUN THAYYIBATUN WARABBUN GHAFUR.